Create your own banner at mybannermaker.com!
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali `Imran: 110)

Saturday, September 26, 2009

AWAS ANAK GADIS MELAYU!!

Wanita Terus Digula-gula Sindiket Dadah Antarabangsa.


Menurut BERNAMA....Mereka datang dari pelbagai negara dengan taktik dan kemahiran yang berbeza. Sangat licik hingga pergerakan mereka kadang kala sukar dikesan.

Menjalankan perniagaan dadah yang keuntungannya berlipat ganda, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggunakan pas pelajar. Sesetengahnya datang ke negara ini menyamar sebagai ahli perniagaan atau sebagai pelancong bagi memudahkan pergerakan aktiviti haram itu.

Warga asing ini terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah di bawah sindiket antarabangsa yang sentiasa berubah operasinya mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Dasar langit terbuka Malaysia, globalisasi dan teknologi terkini di dunia membantu memudahkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa mengaktifkan rangkaian mereka.

Malaysia yang tidak terlepas daripada dilibatkan dalam aktiviti ini, menjadi transit atau rumah kepada penggunaan tempatan.

Hasil pemantauan Jabatan Narkotik Polis Diraja Malaysia mendapati ramai daripada mereka yang terlibat ialah rakyat negara Afrika Selatan, Nigeria, Pakistan, Peru, India dan Iran yang memperdagang pelbagai jenis dadah.

WANITA DIGULA-GULA

Trend terkini ialah menggunakan wanita sebagai orang perantaraan.

Untuk memancing mereka, lelaki yang bertubuh sasa, bergaya, pandai bermain kata-kata dan berlagak kaya seperti tinggal di kondominium mewah, menjadi "gula-gula" menjinakkan mangsa.

Kebiasaannya wanita yang mudah cair dengan janji-janji manis dan kemewahan, menjadi sasaran sindiket ini untuk dijadikan kurier atau keldai dadah.

Bergerak dalam kumpulan kecil atau individu, warga Afrika Barat antara yang paling dominan dikesan menggunakan wanita untuk dijadikan teman wanita yang kemudian digunakan untuk menyeludup dan mengedar dadah.

Wanita yang dijadikan mangsa ini pada mulanya ditaburkan kemewahan dengan menyediakan tempat tinggal dan keperluan mahal lain termasuk dibawa melancong ke luar negara, habuan wang ringgit dan seks.


HALANG WANITA JADI MANGSA

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun berkata pada tahun 2007 seramai 127 wanita Malaysia ditahan di luar negara kerana memiliki dadah untuk tujuan pengedaran oleh sindiket yang menjadikan mereka keldai dadah ini.


"Tahun ini sehingga Mei, hanya 8 orang dikesan dijadikan keldai setelah polis semakin mudah mengenal pasti mereka yang terlibat melalui tangkapan yang dibuat," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

WARGA ASING YANG DITAHAN

Tahun lepas seramai 34 warga negara asing ditahan -- tujuh dari Nigeria, Peru (11), Afrika Selatan (3), India (10), China, Filipina dan Bolivia masing-masing seorang yang melibatkan rampasan heroin sebanyak 4kg kokain 2kg dan ketamin 18kg.

Dari Januari hingga Jun 2009 pula seramai 17 orang ditahan -- 2 dari Singapura, Nigeria (6), Iran (1), Pakistan (3), Thailand (2), Indonesia (3). yang membabitkan rampasan 786 gram syabu dan 14.64 kg heroin.

Terbaru dari Jun hingga Ogos tidak kurang 10 orang warga asing ditahan atas kesalahan menyeludup dan mengedar dadah, antaranya lima warga India dan Myanmar yang berumur antara 30 hingga 40 tahun kerana menyeludup dadah jenis ketamin pada 15 Ogos lepas dan penahanan seorang wanita warganegara Filipina yang dipercayai menjadi keldai dadah sindiket antarabangsa untuk membawa kokain dari Amerika Selatan pada 28 Ogos lepas.

Othman berkata pemantauan secara dekat polis ini menyebabkan sindiket dadah itu mengubah strategi dengan mensasarkan wanita dari negara jiran seperti Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, dan Brunei.

Modus operandi mereka ini sama -- mengambil dadah dari negara Amerika Selatan seperti Peru, Argentina dan Brazil untuk dibawa masuk ke dalam negara sebelum dibawa keluar menggunakan wanita-wanita berkenaan ke negara-negara jiran dan sekitar Asia.

Othman berkata kebiasaannya dadah yang dibawa dari negara sebelah Amerika Selatan ialah jenis kokain dan bukan untuk pasaran tempatan kerana pengguna dadah di negara ini tidak mengambil dadah jenis itu.

Akibat kepanasan aktivitinya dikesan, sindiket itu mengubah strategi dengan menggunakan wanita Filipina untuk membawa keluar dadah terutama jenis heroin ke Ghoungzo, China, menggunakan transit ke Thailand, kemudian Kemboja dan Vietnam.

PENGLIBATAN NEGARA LAIN

Selain warga Afrika, sindiket ini juga menggunakan lelaki dari negara seperti India, Pakistan dan Iran.

Othman berkata dadah jenis ketamin ialah dadah yang biasa diseludup masuk oleh warga negara India ke Malaysia, Pakistan lebih kepada heroin dan syabu.

Dadah syabu yang dibawa masuk warga Iran ke Malaysia, kata Othman, lebih untuk pasaran luar negara terutama Jepun.

Pendekatan yang digunakan hampir sama -- memikat dan menjadikan wanita sebagai keldai mereka bagi menghantar bekalan ke negara luar.

Pelbagai taktik digunakan untuk membawa masuk dadah sama ada melalui udara, jalan laut mahupun darat.

Daripada tangkapan yang dilakukan polis mengenal pasti beberapa kaedah popular -- 'Body Packed" atau melekatkan dadah pada badan dan menelan dadah.

Othman berkata keldai dadah ini pun sanggup menggadai nyawa mereka dengan menelan dadah yang cuba dikesan.

Menggunakan bagasi, merupakan kaedah lama yang digunakan penyeludup, iaitu menyediakan satu ruang khas bagi menempatkan dadah itu. Bagaimanapun banyak kejayaan pihak berkuasa mengesan penyeludupan dadah menggunakan kaedah ini.

Antara taktik lain ialah menggunakan sabun mandi yang ditebuk untuk dimasukkan dadah, bingkai gambar, komputer riba dan yang terbaru kaedah menggunakan baju yang direndamkan ke dalam cairan dadah.

-- BERNAMA



Dari filem Catch Me If You Can. - Gambar hiasan 
 Gambar sekadar hiasan.

See full size image

Seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA, wanita 1 Malaysia menjadi sasaran sindiket antarabangsa untuk mengedarkan dadah di seluruh dunia. Dengan keadaan anak-anak orang Islam sekarang yang jauh dari ajaran dan tuntutan Islam, jahil tentang agama, taksub dan gilakan kemewahan dunia..sudah pasti mudah terperangkap dan terjerumus ke lembah maksiat dan dunia penyeludupan dadah ini walaupun kebanyakan yang tertangkap mendakwa mereka tidak tahu menahu dan tertipu. OLEH ITU AWAS  KEPADA ANAK-ANAK MUDA, AWAS KEPADA PARA IBU BAPA. (AWASI ANAK-ANAK ANDA!)..JANGAN SAMPAI TERJERAT DENGAN JERAT DUNIA YANG MEMBAWA KEHANCURAN HIDUP DI DUNIA DAN AKHIRAT. BIARLAH HIDUP SEDERHANA DAN TIDAK MEWAH ASALKAN DI LANDASAN SYARIAT.

“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang saleh.”
(al-Mu’minun: 51)

“Janganlah setengah kamu, memakan harta setengah yang lain dengan cara kebatilan.” (al-Baqarah: 188)

Ibnu Mas’ud r.a telah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. katanya:

“Mencari yang halal itu adalah wajib atas setiap Muslim.”

Setengah para ulama mentafsirkan Hadis berikut:
“Menuntut ilmu pengetahuan wajib atas setiap Muslim.”

Maksudnya menuntut ilmu yang boleh membedakan yang halal dan yang haram. Nyatakan maksud dari kedua Hadis tersebut itu sama.

Apabila disebutkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang orang yang amat memberatkan urusan keduniaan, baginda bersabda:

“Betapa banyaknya orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu lantaran terlalu lama dalam pelayaran, makanannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan perutnya dipenuhi dari yang haram, diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Bagaimana boleh Tuhan mengabulkannya.”
Bersabda Rasulullah s.a.w lagi:
“Setiap daging yang tumbuh dari yang haram, maka api neraka lebih utama baginya.”

Dari Atsar atau cerita-cerita para sahabat di antaranya:

Diceritakan bahwa Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. pada suatu hari telah minum susu dari usaha seorang hamba sahayanya, kemudian tergerak hatinya untuk bertanya kepada hamba sahaya itu. Dia berkata: Susu itu diberikan kepada saya, setelah saya meramalkan sesuatu pada sekelompok manusia. Maka Abu Bakar pun memasukkan jarinya ke dalam mulut dan menggorek anak tekaknya untuk memuntahkan susu tadi. Saya lihat Abu bakar kemudian muntah-muntah, sehingga saya sangka isi perutnya seperti kehendak terkeluar. Sesudah itu, Abu Bakar berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Aku memohon keampunan terhadap apa-apa yang telah mengalir dalam urat-urat apa-apa yang telah bercampur aduk di dalam tali perut.

Peristiwa serupa ini pernah juga berlaku kepada Umar Al Khattab apabila beliau tersalah minum dari susu unta sedekah. Beliau juga mencucuk anak-tekaknya dengan jari sehingga termuntah-muntah.

No comments:

Post a Comment