Create your own banner at mybannermaker.com!
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali `Imran: 110)

Monday, November 16, 2009

DARI PAS PERAK..

KENYATAAN MEDIA ( 15 NOVEMBER 2009 )

15 11 2009
SDC12800
PAS Perak, sentiasa memandang serius akan kemelut politik terkini di Perak. PAS Perak, berpendapat betapa konflik politik yang berterusan di Perak ini merupakan satu lagi ulangan sejarah hitam dalam demokrasi negara bilamana sebuah kerajaan sah yang diangkat melalui proses Pilihan Raya Umum Ke-12 akhirnya dijatuhkan secara tidak bermaruah dan ala “ gangster ” oleh kerakusa pimpinan UMNO / BN yang ternyata tidak dapat menerima hakikat akan penolakan rakyat serta kekalahan mereka dalam mana-mana Pilihan Raya di negara ini.

PAS Perak menempelak kepimpinan UMNO/BN supaya kembali melihat pengalaman sejarah politik tanahair yang lepas, yang satu ketika dahulu pernah membawa rakyat Malaysia, menyaksikan jatuhnya beberapa kerajaan negeri yang dipilih secara sah seperti Terengganu [1961], Kelantan [1978] dan Sabah [1994] gara-gara ketamakan kuasa Perikatan yang kini juga dikenali sebagai Barisan Nasional.

Hasil dari rampasan kuasa oleh pimpinan UMNO/BN di Perak ini, PAS Perak bependirian bahawa Barisan Nasional sememangnya sangat pakar darihal menggunakan strategi suapan kebendaan, pujuk rayu dan andainya itu semua tidak berjaya maka pimpinan UMNO/BN tanpa segan silu akan menggunakan pula strategi ugut dan ancam bagi memastikan kelangsungan agenda politik mereka.

PAS Perak, menyedari akan lakonan politik yang diwatakkan oleh pimpinan UMNO/BN yang bilamana mereka berjaya mengekalkan kuasanya dalam mana-mana pilihanraya mereka akan sering berlagak sebagai sebuah kerajaan yang baik dan meminta parti yang kalah untuk bersatu hati kononnya bagi membangunkan negara juga negeri, akan tetapi watak pimpinan UMNO/BN akan drastik berubah bilamana ia tewas dalam
pilihanraya. BN akan lupa akan nasihatnya sendiri dan akan berterusan menimbulkan huru hara serta kekacauan sehinggalah mereka menemukan apa yang mereka dambakan sepertimana yang berlaku dalam krisis perlembagaan terkini di Perak.

PAS Perak, berpendirian bahawa BN adalah punca pencetus huru hara dan porak peranda dalam politik negara setelah secara rakus selama lebih 50 tahun memporak perandakan ekonomi dan kekayaan negara.
PAS Perak, juga ingin menegaskan bahawa PAS bersama Parti Komponen Pakatan Rakyat tidak pernah kemaruk kuasa. PAS selama lebih 50 tahun berada di persada politik tanahair sangat konsistan untuk memelihara perpaduan bahkan kestabilan negara. PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya sudah melalui siri pengalaman kalah dan menang dalam PRU secara matang. Bahkan kita bersedia untuk melepaskan pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak atau di mana-mana sahaja seandainya itu yang diinginkan oleh warga pengundi bagi mana-mana negeri kerana kita berpegang kepada prinsip kebenaran, keadilan dan keikhlasan pemimpin dan rakyat yang dipimpin.

PAS Perak, sangat menyedari betapa telah berlaku satu ”rampasan kuasa” di negeri Perak dan mahu agar semua institusi perundangan serta keadilan dalam negara ini mengambil pendirian yang jelas berpaksikan kepada prinsip berani kerana benar.

PAS Perak juga mempersoalkan sikap beberapa pihak berkuasa yang seolah-olah membutakan mata terhadap realiti sebenar permasalahan yang timbul di Perak sangat dipersoalkan. Tindakan SPR yang ternyata mendahului dan mengambil tugas mahkamah ternyata menjadi punca utama kepada kemelut yang diciptakan atas kepentingan pihak tertentu dan para pedagang yang bersuakakan kuasa.

PAS Perak beranggapan, satu perkara yang amat malang bagi pihak-pihak tertentu yang selama ini bercakap soal moral, penghormatan terhadap mandat rakyat, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang- Undang serta pemisahan kuasa di antara legislatif, eksekutif dan judiciary tetapi akhirnya tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah membelakangi semua prinsip tersebut ketika mana membuat satu-satu keputusan yang sangat penting.

Bagi PAS Perak, sesungguhnya, perkembangan terbaru ini dipercayai akan menambah kemusnahan ke atas kepercayaan umum terhadap integriti semua pihak dan institusi yang terlibat dalam insiden ”rampasan kuasa” yang hakikatnya bukan menjadi budaya rakyat negara kita. Ketika ini kita seolah-olah disogokkan oleh pimpinan UMNO/BN dan konco-konconya dengan satu ajaran sesat dan budaya politik liar dalam subjek politik tanah air iaitu ”rampasan kuasa” dan tentunya ia bakal memberi implikasi yang sangat buruk juga ”signal” serta ”didikan yang sangat tidak baikkepada rakyat khususnya generasi muda.

PAS Perak inigin memberi amaran kepada kepimpinan UMNO/BN, sekiranya, insiden yang sama berlaku sekurang-kurangnya 15 tahun yang lepas iaitu di Sabah barangkali agak jauh untuk difahami dan diingati oleh kita khususnya generasi muda, maka apa yang dilakukan sekali lagi oleh BN dalam rampasan kuasa di Perak pada hari ini semestinya akan menjadi panduan yang sangat berharga dan bukti sejarah paling terkini untuk
rakyat Malaysia mengusung janji bagi menamatkan kuasa UMNO-BN di negara Malaysia ini pada PRU-13 yang akan datang.

PAS Perak, sangat bimbang terhadap segala kecelaruan yang berlaku di Perak dan PAS Perak sentiasa mendesak agar demokrasi di negeri Perak dipulihkan segera dengan memberi laluan kepada Pilihan Raya bagi keseluruhan kerusi DUN Perak.

PAS Perak , menjunjung kasih ke bawah Duli Sultan Perak sebagai idola rakyat yang mendambakan keadilan dan sebagai ikon kita rakyat Malaysia; PAS Perak merafak sembah, merendah hina agar institusi mulia ini meneliti kembali realiti sebenar kemahuan rakyat jelata. PAS Perak menegaskan bahawa semua itu akan nantinya terjawab secara jujur menerusi pemilihan di peti undi.

Akhirnya, PAS Perak menyeru seluruh rakyat jelata agar tidak terjebak dengan emosi perkauman sempit dan melulu yang dibawa oleh pimpinan UMNO/BN dalam menghadapi krisis ini. Kita akan hadapinya dengan penuh kewarasan dan sunggu benarlah Jihad Yang paling Besar Adalah Berkata Benar Di Hadapan Pemimpin Yang Dzalim.

” ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN ”

A.F USTAZ ABU BAKAR HUSSAIN
Pesuruhjaya PAS,
Perak Darul Ridzuan

No comments:

Post a Comment