Habib Bourguiba
“Apa dia tidak baca sirah? Buta sejarah?” tambah seorang lagi.
Semua naik angin.
Marah dengan Habib Bourguiba.
Beliau adalah Presiden Tunisia yang pertama, memerintah dari tahun 1957 hingga 1987. Bourguiba selalu disinonimkan dengan Mustafa Kemal Ataturk kerana keghairahannya kepada pembaratan yang disamakan dengan pemodenan.
Isunya ialah pada tahun 1961. Habib Bourguiba telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya, Tunisia, berpuasa di bulan Ramadhan. Bagi menegaskan arahan itu, beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengah hari bulan Ramadhan dan mereka makan beramai-ramai.
Alasan Habib Bourguiba senang sahaja, berpuasa mengurangkan produktiviti negara!
SINIS AGAMA
Pandangan Habib Bourguiba itu, jika mahu dikategorikan, ia termasuk di dalam apa yang dinamakan sebagai Religious Skepticism. Pemikiran skeptik atau sinis terhadap agama ini berperingkat.
Ada sinis yang merujuk kepada beberapa aspek di dalam ajaran agama. Seseorang itu mungkin sinis dengan hukum membasuh jilatan anjing dengan tanah. Atau hukum menutup aurat. Mungkin juga soal harta pusaka yang dibahagian dua bahagian kepada pewaris yang lelaki dan satu bahagian kepada pewaris yang perempuan.
Ada juga pemikiran skeptik, ditujukan kepada institusi agama. Misalnya, anti ‘orang masjid’, mungkin juga kepada pihak berkuasa agama seperti JAWI, JAIS, JAKIM dan lain-lain. Tidak lupa dengan alergi mereka kepada parti politik Islam, atau badan-badan yang menjadikan Islam sebagai identiti organisasi mereka.
Peringkat ketiga pula, ialah pemikiran skeptik terhadap keseluruhan ajaran agama. Mereka tidak semestinya anti Tuhan atau atheist namun mereka sinis terhadap semua agama yang dianggap sebagai doktrin yang penuh kecurigaan.
Walau apa pun bentuk Religious Skepticism yang muncul, kesemuanya adalah reaksi. Apabila diertikan sebagai reaksi, tentu ada sesuatu yang berlaku sebagai reaksi kepada kejadian tersebut.
YASMIN AHMAD DALAM KENANGAN
Terkini, ASTRO mendedikasikan saluran 110 sebagai tribute kepada Allahyarham Yasmin Ahmad dengan menyiarkan koleksi filem terbitan atau arahan beliau seperti Sepet dan Gubra.
Oleh kerana Religious Skepticism semakin berleluasa mendominasi pemikiran masyarakat khususnya di dalam kelompok urban, maka hasil karya Yasmin Ahmad semacam menjadi jurucakap untuk meluahkan pandangan ini yang sejak sekian lama tidak mudah untuk diketengahkan ke perhatian massa. Yasmin Ahmad menerima penghormatan dan pengiktirafan yang sungguh luar biasa.
Jika kita bersetuju bahawa Religious Skepticism itu ialah satu bentuk reaksi, maka datang soalan kedua; pemikiran Religious Skepticism yang ada pada Yasmin Ahmad datangnya sebagai reaksi kepada apa? Saya tidak mempunyai sebarang penjelasan kerana saya tidak mengenali beliau secara peribadi.
Namun mungkin beliau menempuh episod hidup yang penuh dengan kejadian, penilaian, hukuman, malah mungkin cemuhan yang menggalakkan skepticism itu semakin meruncing.
SISTERS IN ISLAM
Zainah Anwar, teraju utama Sisters in Islam
Namun, ada sesuatu yang juga konsisten dalam pemikiran dan ucapan tokoh-tokoh utamanya. Elemen yang saya maksudkan itu ialah Religious Skepticism. Keketaraannya lebih terasa dalam aspek sinis mereka kepada institusi agama yang dilihat tidak bertindak wajar dalam hal kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan kaum wanita Muslim di negara kita.
Mendesak agar al-Quran ditafsir semula, bukanlah suatu isu baru. Tetapi mendesaknya dengan alasan ahli-ahli Tafsir dahulu semuanya lelaki, lalu hukum yang keluar bersifat male chauvanist, adalah suatu manifestasi kepada Religious Skepticism. Justeru ramai sukarelawan yang terbabit di dalam gerakan-gerakan pembelaan wanita seperti Sisters in Islam, membawa mesej yang boleh digunapakai untuk memperbaiki banyak aspek perlaksanaan Islam, tetapi mencetus banyak kontroversi kerana ia diperjuangkan secara sinis atau skeptik, sedikit sebanyak berpunca daripada pengalaman diri sukarelawan tersebut berkaitan dengan lelaki.
Menyaksikan bapa mendera ibu yang diperhambakan dalam sebuah perkahwinan.
Melihat penindasan yang berlaku ke atas janda yang tergantung hidup oleh suami yang enggan mentalakkannya, tetapi terus menerus mendera emosi dan mungkin fizikal isteri.
Menjadi mangsa kejahatan lelaki.
Atau terus menerus dihentam golongan yang tidak bersetuju, kebetulannya mereka itu adalah ustaz, mufti, ulama, yang semuanya adalah lelaki.
Religious Skepticism adalah reaksi.
Ada sesuatu yang berlaku sebelum pemikiran skeptik itu menguasai.
Sesuatu yang perlu difikirkan.
BENJAMIN STEPHEN
Bukan sedikit ilmu agamanya.
Tetapi hari ini, anak Perak yang dahulunya dikenali sebagai Badrul Hisyam, telah murtad dan menjadi pendakyah Kristian.
Apabila saya mendengar ceramah-ceramah yang beliau sampaikan di gereja dan di khalayak Kristian, saya mengesan sesuatu yang amat konsisten di dalam ceramah beliau. Ceramahnya tidak ilmiah dan tidak membantu Kristian memahami Bible. Sebaliknya, hampir keseluruhan ceramah beliau berbahasa skeptik dan sentiasa sinis serta menyindir serba serbi yang berkaitan dengan Islam dan Muslim. Malah ibu bapanya sendiri turut disindir dan diejek.
Tatkala bertanyakan kepada pelajar-pelajar sekolah beliau yang mengenalinya, anak muda ini yang berpewatakan lembut di sekolah sering diejek, dikutuk atau dalam bahasa rasminya dibuli, di sepanjang pengalamannya di sekolah. Pengalaman seperti ini sangat berpotensi untuk membentuk satu pola pemikiran memberontak yang luar biasa.
Akhirnya Badrul Hisyam dengan sinis dan skeptik beliau terhadap semua yang dialaminya tentang Islam dan Muslim, beliau murtad. Sesuatu yang mungkin tidak disangka oleh senior yang pernah membulinya!
Semasa mendengar ceramah beliau, saya terfikir, adakah Benjamin Stephen ini mengkritik Islam, atau mengkritik Sekolah Menengah Agamanya?
KASSIM AHMAD
Kassim Ahmad tidak sama sekali menafikan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Tetapi beliau mengkritik sistem ilmu Hadith khususnya berkaitan dengan kredibiliti perawinya.
Di manakah kritikan itu bermula?
Berasal daripada kekecewaan Kassim Ahmad terhadap pemikiran dan sikap orang-orang agama yang ditemui di usia mudanya, ia berkembang kepada mempertikaikan institusi Ulama’ dan seterusnya hingga kepada pada perawi yang kesahihan Hadith banyak bergantung kepada kredibiliti perawi-perawi ini.
Ya.
Religious Skepticism yang ringan-ringan boleh berkembang menjadi satu pola pemikiran yang amat rumit dan membingungkan.
bersambung.. .
Salam Ummusaifuddin. Ana ada link kan article ini kat blog ana. Mohon izin. Mungkin pelawat lain dapat baca bagi kesedaran bersama. Terutama UMNO. T.kasih dari kami blogger cwg gopeng
ReplyDeletesalam...posting yang baik...tahniah...
ReplyDeleteSampaikanlah walaupun satu ayat..
ReplyDelete