Create your own banner at mybannermaker.com!
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Surah Ali `Imran: 110)

Tuesday, December 8, 2009

Segerakan Keputusan Menteri Besar Perak Yang Sah - PAS Perak

 

Segerakan Keputusan Menteri Besar Perak Yang Sah - PAS Perak


IPOH, 7 Dis: Pesuruhjaya PAS Perak Al Fadhil Ust. Abu Bakar Hussain menegaskan kenyataannya kepada media bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan mengisytiharkan siapa Menteri Besar Perak yang sah adalah titik sejarah yang sangat penting bagi seluruh rakyat Malaysia.


Beliau mempersoalkan mengapa keputusan siapa Menteri Besar Perak yang sah masih tidak diisytiharkan Mahkamah Persekutuan untuk pengetahuan rakyat, sedangkan penghujahan dan pendengaran sudah dibentangkan di hadapan 5 hakim yang menghakimi kes tersebut pada 5 November yang lalu. "Perkara ini penting kerana rakyat Perak ingin tahu siapa sebenarnya Menteri Besar Perak yang sah selama ini", tegas beliau.


Beliau turut menyatakan bahawa Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah mengikut perundangan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak, dan selama ini Pakatan Rakyat Perak tidak pernah mengiktiraf Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak .


Memetik kata-kata beliau, “Keputusan Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah sangat penting kerana ia dapat membuktikan proses demokrasi mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak telah dapat dipertahankan.”


“Keputusan Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah sangat penting kerana ia dapat menjadi pelajaran dan pengajaran kepada UMNO/BN bahawa sebarang urusan penubuhan sesebuah kerajaan dan segala proses perlantikan atau perlucutan jawatan hendaklah mengikut peraturan yang telah termaktub dalam perlembagaan.”


Beliau juga menyatakan bahawa PAS Perak berpendirian bahawa, kriris rampasan kuasa secara tidak sah yang telah dilalui di Perak ini bukan sahaja dirasai oleh rakyat Perak, bahkan seluruh Negara, bahkan seluruh masyarakat dunia juga sedang mengikuti kes siapa Menteri Besar Perak yang sah ini, ia termasuk para ahli akademik dan orang awam. Semua mereka mengharapkan agar prinsip demokrasi ini perlu diperbetulkan kepada landasan yang tepat mengikut lunas undang-undang dan demokrasi.


Selain itu beliau juga menyatakan bahawa PAS Perak berpendirian sekiranya keputusan siapa Menter Besar Perak yang sah berpihak kepada Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir maka keputusan itu akan mencemarkan malah merosakkan seluruh sendi demokrasi yang telah disepakati dan diamalkan di negara Malaysia selama ini.


Menurut beliau lagi PAS Perak berpendirian, sekiranya keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada Dato’ Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah maka jelaslah keputusan ini adalah keputusan yang tepat dan terbaik bagi mengelakkan Negeri Perak, atau negeri yang lain dari terjebak dalam peraturan dan percaturan 'undang-undang rimba' iaitu 'siapa kuat dia dapat', seperti yang sedang dibawa oleh UMNO/BN, di Perak.


"PAS Perak turut menegaskan bahawa, akibat dari tidakan UMNO/BN yang terlalu gopoh dan bernafsu untuk mengambil alih pemerintahan Negeri Perak ini, maka ia telah menyebabkan punca kenapa kegawatan politik Perak telah berlaku dan  memalukan seluruh Negeri Perak dikaca mata dunia luar", kata beliau.


Tambah beliau lagi, "Bukan sahaja episod ADUN Pakatan Rakyat tidak dibenar masuk ke Dewan Undangan Negeri  dan terpaksa bersidang di bawah pokok telah disaksikan oleh semua, malah pergelutan sehingga tindakan ganas di dalam sidang DUN Perak  ketika hendak menukar Speaker Dewan Undangan Negeri juga telah mencatatkan sejarah yang cukup hina dan memalukan dalam politik negara, semua ini adalah akibat dari sifat gopoh dan zalim yang dibawa oleh UMNO/BN ke Negeri Perak ini".


Beliau juga turut membidas tindakan zalim UMNO/BN yang telah menyalahgunakan institusi polis dan pegawai awam untuk mengheret secara fizikal YB. V.Sivakumar selaku Yang DiPertua Dewan Negeri serta mengkasari beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat ketika hari persidangan DUN pada 3 Mac 2009, 7 Mei 2009, 2 September 2009 dan 28 Oktober 2009 sangat tidak dapat diterima sama sekali dan ia adalah tindakan yang sangat zalim.

"PAS Perak, berpendirian bahawa dengan keadaan bilangan ADUN yang boleh sahaja berubah di kedua-dua belah pihak, maka jalan keluar yang terbaik ialah membubarkan DUN Perak dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil bagi kemaslahatan rakyat Negeri Perak", jelas beliau.

No comments:

Post a Comment