Salam 2 all,
Sekali lagi negara digemparkan dengan kes ragut terbaru yang menyebabkan kematian kepada mangsa. Ibu muda berusia 33 tahun, Sharifah Mohd. Noor meninggal dunia sebaik sahaja beliau diragut semasa menaiki motosikal. Sharifah yang dalam perjalanan balik ke Melor setelah bersama dengan ibunya di Kg. Bedolah, Tumpat diragut semasa tiba di Kg, Padang Raja. Sebaik diragut, motosikal EX5 yang ditunggangnya digesel oleh motosikal peragut tersebut menyebabkan beliau hilang kawalan dan terjatuh. Sebuah kenderaan Proton dari arah bertentangan tidak dapat mengelak beliau lalu melanggarnya menyebabkan kecederaan parah di kepala dan badannya. Sharifah yang mengandung tiga bulan, meninggalkan suami Mohd Zani Awang dan lima orang anak yang masih kecil (berusia dua-tigabelas tahun).
Ini adalah kes ragut ketiga berlaku berturut-turut yang menyebabkan kematian dan kes kedua membabitkan ibu muda yang sedang mengandung. Dan yang paling malang dikala para mat rempit dan peragut-peragut dajjal ini bermaharajalela, pasukan polis lebih sibuk mengerahkan kekuatan anggotanya untuk menghalang rakyat bersuara dan berhimpun secara aman di Perak. Alangkah baiknya kalau pihak polis menumpukan tugas dan tenagakerja mereka kepada menangani dan menyelesaikan masalah peningkatan jenayah yang makin membimbangkan akhir-akhir ini.
Kita melihat kejadian kes ragut dan meningkatnya penyalahgunaan dadah dan arak serta bertambahnya kegiatan merempit khususnya dikalangan remaja dan belia Melayu sangatlah membimbangkan.
Kita melihat kegiatan ganas taik-taik rempit dan kronologi kegiatan ragut sejak setahun lepas memberikan satu trend yang menakutkan, seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang; dan kalau ada pun undang-undang seolah-olah mereka ini "above the law". Pihak polis kelihatan seolah-olah tidak mampu lagi menangani dan menyelesaikan masalah yang membimbangkan ini.
Kita khuatir nanti akan tiba masanya rakyat menjadi muak dengan masalah ini dan mengambil tindakan sendiri untuk mengatasinya. Apakah kita sudah berada ditahap negara "koboi", sehingga memaksa rakyat mengambil "the law into their own hands". Ini adalah satu "wake-up call" kepada pihak keselamatan untuk mencari satu mekanisme dan formula terbaik dan berkesan untuk menangani masalah ini.
Atau apakah kita perlu balik kepada melaksanakan hukum ALLAH; dimana ALLAH menjanjikan keamanan sekiranya perintah dan hukum-hakamnya dilaksanakan. Adakah fenomena dajjal-dajjal rempit ragut ini muncul sebagai petanda kita sudah jauh daripada rahmat dan belas kasihan dan barakah ALLAH swt.
Tepuk dada tanyalah iman masing-masing..
Wallahua'lam.
Kronologi kes-kes ragut
· 5 Mei 2009 - Wanita mengandung dua bulan, Jamilah Selamat, 31, meninggal dunia selepas koma tiga hari akibat terjatuh daripada motosikal, diragut dua lelaki, 70 meter dari rumahnya di Johor Bahru.
· 29 April 2009 - Pelajar Tingkatan Dua, Lee Chee Wai, 14, hampir kehilangan dua jari tangan kiri selepas dilibas pisau peragut di Subang Jaya kerana mahu merampas kembali alat permainannya.
· 28 April 2009 - Dua pelajar sekolah menengah yang lengkap berpakaian seragam sekolah memukul seorang wanita sehingga cedera sebelum meragut beg tangannya di Desa Setapak, Kuala Lumpur, kelmarin.
· 29 Mac 2009 - Nurul Fatimah Ali, 19, koma selepas nekad menunggang motosikal melawan arus untuk mengejar motosikal dinaiki dua lelaki yang meragut beg tangannya di bawah Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
· 21 Februari 2009 - Wanita warga Singapura cedera di lutut dan rugi kira-kira S$5,300 (RM13,000) selepas beg tangannya diragut dua lelaki di Kuantan.
· 2 Februari 2009 - Nor Hanani Ibrahim, 21, dari Taman Sena Indah, Kangar nekad mengejar dua penjenayah yang meragut beg tangannya sehingga kedua-dua lelaki itu berjaya diberkas orang ramai.
· 4 Januari 2009 - Seorang pembantu tadika dalam perjalanan menghantar laporan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan menunggang motosikal patah kedua-dua kaki dan tangan kanannya selepas diragut di Jalan Pusara, Kuala Terengganu.
· 10 Disember 2008 - Seorang wanita warga emas maut digilis lori selepas diragut dua lelaki bermotosikal sebaik selesai membeli barang harian di Pasar Awam Bukit Mertajam.
· 22 November 2008 - Seorang wanita berusia 65 tahun cedera ringan selepas terjatuh dalam kejadian cubaan meragut beg tangan di hadapan masjid Kampung Gerai, Jertih, Besut.
· 13 November 2008 - Seorang wanita, Khoo Lee, 38, cedera dalam kejadian cubaan ragut berhampiran lokasi program pencegahan jenayah, di Pusat Perniagaan Pesta Baru, Jalan Bakri, Muar.
· 29 Oktober 2008 - Hasrat seorang pelajar Tingkatan Lima cuba menolong sepasang kekasih yang menjadi mangsa ragut berakhir dengan tragedi kerana maut apabila motosikalnya terbabas diterajang rakan peragut yang mengekorinya.
· 11 September 2008 - Seorang wanita kerugian kira-kira RM1,200 selepas beg tangannya diragut seorang gadis yang membonceng motosikal seorang lelaki di Jalan Air Putih, Kuantan.
· 11 Ogos 2008 - Jururawat, Israha Ismail, 29, parah selepas diragut ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Jalan Seriab, Kangar.
· 20 Jun 2008 - Seorang wanita yang koma tujuh hari selepas bergelut dengan seorang lelaki yang meragut beg tangannya berhampiran pusat beli-belah Melaka Mall, Melaka, meninggal dunia.
· 12 Mei 2008 - Isteri seorang kakitangan Berita Harian yang mengandung tiga bulan cedera diragut dua penunggang motosikal di Jalan Walter Grenier, Kuala Lumpur.
· 10 Mei 2008 - Penjual nasi lemak, Siti Zubaidah Ismail, 41, parah manakala anaknya, Noorhasniza Mat Tahir, 14, cedera selepas jatuh dari motosikal apabila seorang lelaki meragut beg tangan dari dalam raga motosikal yang mereka naiki di Simpang Kuala, Alor Setar.
· 20 April 2008 - Penghantar surat sambilan, Mohd Atiff Afifi Omardin, 22, cedera ditikam dengan pisau rambo, ketika cuba menangkap dua lelaki yang meragut seorang warga emas dekat Pintu Geng, Kota Bharu.
· 10 Februari 2008 - Pelajar Universiti Malaysia Perlis, Nur Amalina Abu Bakar, 20, cedera di kepala selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan kereta ketika cuba mengejar lelaki yang meragut beg tangannya di Alor Setar.
· 28 Disember 2007 - Guru, Norlidah Misran, 36, patah tulang belakang selepas terjatuh ketika menarik beg tangannya daripada diragut di Muar.
· 30 Oktober 2007 - Ketua Meja Jenayah akhbar Nanyang Siang Pau, Steven Chiew, 44, cedera di mulut dan hidung terjatuh selepas beg yang disandangnya disentap penjenayah di Kelana Jaya
Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu
Khamis 12 Jamadil Awal 1430 / 07 April 2009