Wednesday, August 5, 2009
Assalamualaikum Wrt. Wbt.Dengan ini saya, selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak mewakili saf kepimpinan Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Dewan Muslimat PAS Kawasan-Kawasan dan muslimat PAS Negeri Perak keseluruhannya dengan ini melahirkan rasa kesal yang amat sangat dan mengutuk sekeras-kerasnya perkara perkara berikut :
1. Tindakan polis yang telah menggunakan kekerasan melampau kepada peserta Himpunan 100Ribu Rakyat Mansuh ISA pada 1 Ogos 2009 bertempat di Masjid Negara, Masjid Jamek Kuala Lumpur,Sogo dan kawasan sekitarnya. Rakyat Malaysia yang cuba berhimpun secara aman untuk menyatakan hasrat supaya ISA dimansuhkan telah diserang dengan semburan air kimia dan gas pemedih mata. - Sewajarnya polis mampu mengawal keamanan berdasarkan pengalaman mengawal perhimpunan-perhimpunan besar seperti perarakan Maulidur Rasul, Taipusam, Pesta Flora dan sebagainya.
2. Tindakan polis menangkap secara borong tanpa mengira jantina, warga tua dan kanak-kanak. - Penangkapan seawal 2.00 pagi, dan dengan jumlah OKT melebihi 600 orang membuktikan polis dan Kerajaan Malaysia sangat takut kepada kebangkitan suara rakyat.
3. Tindakan tidak berperi kemanusiaan polis yang menangkap Puan Norlaila Othman , anaknya Suhaib Mat Sah 16 tahun dan beberapa pimpinan muslimat/wanita termasuk seorang lagi kanak-kanak 13 tahun semasa sedang melakukan “window shopping” di Kompleks Pertama sebelum Perhimpunan Mansuh ISA bermula. - Puan Norlaila adalah mangsa kepada ISA. Suaminya Saudara Mat Sah telah ditahan hampir 8 tahun di Penjara Kamunting tanpa diberi peluang untuk membela diri. Apakah menjadi satu kesalahan bagi seorang isteri untuk memperjuangkan hak suami yang teraniaya? Dimanakan suara NGO-NGO Wanita umumnya dan Menteri yang menjaga hal ehwal wanita di Malaysia khasnya dalam isu ini? Apakah wanita-wanita ini dianggap sebagai warga kelas kedua yang tidak memerlukan pembelaan, dan tidak layak untuk dibela.?
4. Tindakan ganas polis yang mengakibatkan Persatuan Peniaga Kecil Lorong Tunku Abdul Rahman hendak menyaman Gerakan Mansuh ISA (GMI). - Seharusnya Persatuan Peniaga Pasar Malam tahu siapa sebenarnya yang merosakkan perniagaan mereka. Adakah peserta-peserta perhimpunan yang telah memecahkan peralatan dan barang-barang mereka? Adapun jawapan yang sahih lagi pasti ialah angkara tindakan biadap Polis Di Raja Malaysia yang telah bertindak “sesuka hati” dan “membabi buta” pada hari tersebut.
Sekian. Wassalam.
Yang Benar,
Hajjah Bariah Binti Alang Sapri
Ketua Dewan Muslimat PAS Perak
4 Ogos 2009
No comments:
Post a Comment