Nyawa lima sekeluarga melayang - Perodua Kenari hancur dilanggar lori kontena...
MARAN - Lima sekeluarga termasuk seorang ibu mengandung dan bayi lelakinya berusia 10 bulan terbunuh selepas kereta Perodua Kenari yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena bermuatan tong gas di Jalan Kuantan-Kuala Lumpur berhampiran Kompleks Rakan Muda di sini semalam.
Empat ahli keluarga berkenaan termasuk bayi tersebut dipercayai tercampak keluar dari kenderaan manakala seorang lagi mangsa tersepit di tempat duduk. Kesemua mereka maut di tempat kejadian.
Mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nasarudin Abdul Aziz, 32, pembantu rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Purun, isterinya, Fatmawati Harun, 30, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Purun yang mengandung tiga bulan dan anak sulung mereka, Mohd. Nadzif Iman Nasarudin, 10 bulan. Mereka tinggal di Felda Purun, Triang dekat Bera.
Turut maut ialah ibu Fatmawati, Sepiah Mohamad, 60, dan anak bongsunya yang kurang upaya, Mohd. Syakirin, 23. Kedua-duanya tinggal di Felda Jengka 5.
Pemandu lori kontena berusia 39 tahun hanya mengalami cedera ringan di kaki dan dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan manakala kelindannya yang berusia 17 tahun tidak cedera.
Sumber : Kosmo Online!MARAN: “Berderau darah saya melihat mayat bayi dalam longkang, tiga mayat lagi bergelimpangan, manakala satu lagi tersepit dalam kereta.“Saya menitiskan air mata kerana suasana ketika itu begitu dahsyat dengan keadaan mayat cukup mengerikan terutama mayat bayi itu yang pecah kepala hingga menampakkan isi,” kata Azmi Mohamad, 42.Dia antara saksi awal kemalangan membabitkan sebuah lori kontena dengan Perodua Kenari di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berhampiran Kompleks Rakan Muda Maran di sini, semalam.Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, lima sekeluarga terbabit maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena ‘terbang’ sebelum diseret kira-kira 80 meter dan melanggar tebing bukit.
|
Azmi berkata, kemalangan itu paling ngeri pernah dilihatnya dan sukar untuk menceritakan keadaan mangsa kerana terlalu ngeri.
“Saya turut membantu anggota bomba mengangkat mayat keluarga berkenaan dan mengutip cebisan daging dan anggota badan yang terputus dan hancur akibat rempuhan kuat kenderaan berat itu.
“Ini kali kedua saya melihat kemalangan maut di tempat sama. Nahas lima tahun lalu turut mengorbankan lima nyawa, tapi kali ini lebih dahsyat,” katanya.
Sementara itu, abang sulung Fatmawati, Alias, 43; berkata dia terkejut apabila dimaklumkan lima anggota keluarganya terbunuh dalam kemalangan itu ketika dihubungi bapa tiri, Wan Jaafar Wan Jusoh, 65, selepas tamat bertugas sebagai anggota polis di Bera.
“Kali terakhir saya bertemu mereka di rumah ibu (di Jengka 5) kerana semalam (kelmarin) kami berkumpul dan makan bersama ketika pulang bercuti hujung minggu.
“Saya sempat berbual dengan mereka sebelum bergegas pulang untuk bertugas kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam). Pemergian mereka begitu mengejutkan kerana masing-masing tidak menunjukkan sebarang perubahan atau sikap pelik,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Bandar Jengka.
Menurutnya, lebih menyayat hati, keluarganya baru menerima berita gembira bakal menyambut ‘orang baru’ apabila Fatmawati yang juga anak kelima daripada tujuh beradik itu disahkan hamil tiga bulan.
“Fatmawati beritahu dia mengandung ketika kami berkumpul beramai-ramai dan adik saya begitu gembira kerana bakal mendapat cahaya mata kedua selepas tiga tahun berumah tangga.
“Saya juga sedih dengan kehilangan adik bongsu, Mohd Syakirin, yang juga insan istimewa kerana menjadi penyeri keluarga kami dengan gelak tawa setiap kali berkumpul,” katanya.
Katanya, jenazah anggota keluarganya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Felda Jengka 5 sebaik selesai dibedah siasat.
Sumber : Metro Online!
P/S: DMPKG mengucapkan takziah dan turut sama bersedih bersama-sama keluarga mangsa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka yang terlibat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
No comments:
Post a Comment